Jumhur ulama dari kalangan Ahli Sunnah Wa al-Jamaah yang berfahaman Salaf al-Soleh telah bersepakat bahawa Allah bersemayam di atas ArasyNya berdasarkan apa yang thabit didalam Al-Quran, Hadis baginda Sallallahu ‘alahi wasallam, dan atsar para sahabat. Adapun beberapa ayat yang dijadikan hujah oleh para ustaz dan mereka-mereka yang mengatakan Allah di mana-mana, di setiap tempat, di setiap ruang dan sebagainya adalah hujah yang hanya berasaskan kepada pantafsiran al-Quran berdasarkan pemikiran mereka semata-mata dan bukannya berdasarkan fahaman para Salaf as-Soleh (mereka yang terawal). Antara ayat-ayatnya:
1. “Dan Dia (Allah) bersama kamu di mana sahaja kamu berada”. (Al-Hadid, 57;4)
- Berkata Az-Zahabi: “Telah diriwayatkan bukan sahaja hanya dari seorang, dari Ma’dan berkata: Aku telah bertanya kepada Sufyanat-Thauri tentang firman Allah (Dan Dia bersama kamu di mana sahaja kamu berada), beliau berkata: “IlmuNya”. [Lihat: ‘alaqah al-Ithbat wa at-Tafwidh bisifat rabb al-‘Alamin, hlmn 81, Ridza B. Nu’san Mu’ti]
- Imam Ibn Katsir mengatakan dalam tafsirnya: “Allah mengawasi kamu, memerhati segala perbuatan kamu di mana sahaja kamu berada, di daratan atau lautan, di malam hari atau siangnya, di dalam rumah-rumah kamu atau di luar. Segala-galanya dalam pengetahuanNya tanpa terkecuali. Segala-galanya di bawah penglihatan dan pendengaranNya, Dia mendengar percakapan kamu, melihat kedudukan kamu, mengetahui segala rahsia kamu, dan bisikan kamu kerana Dia telah berfirman: “Ingatlah! Sesungguhnya (orang munafik itu) memalingkan dada mereka untuk menyembunyikan diri daripadanya (Muhammad). Ingatlah! Di waktu mereka menyelimut dirinya dengan kain, Allah mengetahui apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka lahirkan, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala isi hati”. (Hud, 11;5)
- Syeikh Uthaimin menjelaskan: “Allah bersatu dengan mereka KudratNya, pendengaranNya, pentadbiranNya, kerajaanNya, atau dengan makna kerububiyahanNya, sedangkan Dia di atas arasyNya dan di atas segala makhluq-makhluqNya”. [Lihat: al-Qawaid al-Muthla fi as-Sifati Allah wa Asma ihi al-Husna, hlmn 58, Uthaimin]
- Ibn Jarir rahimahullah berkata dalam menafsirkan ayat ini: “Dia (Allah) melihat kamu wahai manusia! Di mana sahaja kamu berada, Dia mengetahui (apa sahaja) tentang kamu dan mengetahui segala amalan kamu….., Dan Dia di atas ‘ArasyNya dan ‘ArasyNya di atas langit yang ketujuh”. [Lihat: Tafsir at-Tobari, jilid 27, hlmn125]
- Berkata Abu al-Qasim al-Asfahani rahimahullah: “Jika mereka mempersoalkan kamu tentang pentakwilan ayat (dan Dia bersama kamu di mana sahaja kamu berada) dan kamu menafsirkan (maksud ayat tersebut yang bersama ialah) IlmuNya? Kamu katakana: “Kami tidak mentakwilkan kerana sesungguhnya ayat tersebut menunjukkan bahawa yang dimaksudkan yang bersama ialah ilmuNya kerana Dia berfirman di akhir ayat tersebut: “Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui di atas segala sesuatu”. [Lihat: Tafsir at-Tobari, jilid 2, hlmn 186]
- Berkata Abu Hayyan Al-andalusi, at-Thauri, dan al-Qurtubi: “Dia bersama kamu: Yang bersama ilmuNya dan kudrahNya”. [Lihat: Bahr al-Muhit, jilid 9, hlmn 217, dan Tafsir al-Qurtubi, jilid 18, hlmn 137]
2. “Tidakkah kamu perhatikan bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang di langit dan apa yang ada di bumi. Tiada perkataan rahsia antara tiga orang, melainkan Dialah yang keempat, dan tiada lima orang melainkan Dialah yang keenam, dan tiada perkataan antara yang kurang dari itu atau yang lebih banyak melainkan Dia ada bersama mereka dimanapun mereka berada. Kemudian Dia akan memberitakan kepada mereka pada hari kiamat apa yang telah mereka kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu”. (Al-Mujadalah, 58;7)
- Ibn Katsir menafsirkan: “Oleh kerana itu, telah menceritakan bukan seorang malah secara ijmak atas kesepakatan mereka bahawa yang dimaksudkan oleh ayat ini ialah Allah bersama seseorang dengan ilmuNya”. [Lihat: Tafsir Ibn Katsir, jilid 4, hlmn 322]
- Ibn Jarir menafsirkan dari ad-Dahak: “Dia (Allah) di atas ‘arasyNya dan yang bersama dengan mereka (manusia) ialah ilmuNya”. “Bahawasanya Dia (Allah) menyaksikan mereka dengan ilmuNya dan Dia (Allah) di atas ‘ArasyNya”. [Lihat: Asy-Syari’ah, hlmn 298]
- Menurut Imam Ahmad rahimahullah ayat ini menjelaskan tentang ilmu Allah bukan memperkatakan ‘tempat’ atau ‘Di mana Allah’. Beliau berkata: “ayat ini di mulakan dengan memperkatakan ilmu dan di akhiri juga dengan memperkatakan ilmu”. [Lihat: Thobaqot al-Hanabilah, 2/15 dan al-Ibanah hlmn 260]
* Berkata Imam Syamsuddin az-Zahabi rahimahullah (salah seorang dari ulama besar mazhab asy-Syafi’e): “Sesiapa mengingkari bahawa Allah Ta’ala di langit, maka dia seorang yang kafir”. [Lihat: Mukhtasar al-‘uluw lil’aliy al-Ghaffar, hlmn 137]