Dalam masa 80 tahun dari pembinaan negara Islam Madinah oleh baginda sallallahu 'alaihi wasallam, Islam telah membina empayar yang begitu luas menandingi empayar Rom dan Parsi yang dibina lebih dari 800 tahun. Perkembangan ini telah merubah gaya hidup masyarakat Arab kepada kehidupan yang lebih mewah dan kepelbagaian budaya bangsa dan mendorong masyarakat arab yang lain untuk memeluk Islam samada secara sukarela atau suatu muslihat jahat.
Kehidupan awal bangsa Arab yang begitu sederhana membolehkan mereka memahami kehendak ayat Al-Quran dan sabda baginda sallallahu 'alaihi wasallam dalam gambaran lingkungan hidup mereka sahaja tanpa memerlukan pentakwilan, qiyas, dan falsafah. Oleh kerana itulah umat Islam di zaman awal tidak menghadapi banyak permasalahan dalam memahami pengertian Al-Quran dan Hadis kerana mereka adalah bangsa arab yang tulen memahami kehendak dan maksud sebutan itu secara semula jadi disamping corak kehidupan mereka yang sederhana itu.
Pembukaan kota-kota Islam yang baru di zaman Abbasiyyah dan ramai bangsa ajam (bukan arab) yang memeluk Islam menjadikan corak dan budaya hidup masyarakat Islam mula berubah kepada cara hidup yang lebih moden dan pelbagai gaya hidup. Di samping itu, gerakan penterjemahan karya-karya agung tamadun lampau yang dilakukan oleh para sarjana Islam dan para penterjemah upahan cuba menterjemah sebanyak mungkin ilmu dan budaya tamadun Romawi, Parsi, Greek, India, dan lain-lain menjadikan pemikiran umat Islam lebih terbuka dan timbulnya pelbagai masalah baru yang pada suatu masa dahulu tidak pernah terlintas dalam pemikiran umat Islam yang awal.
Dasar keterbukaan pemikiran yang dibawa oleh Islam juga menjadi pendorong utama kepada para sarjana Islam untuk mengkaji, membincangkan serta menyebarluaskan pemikiran-pemikiran falsafah Greek terutama falsafah Aristotel, Secrotes, dan membandingkannya dengan pemikiran teologi Islam. Dalam suasana inilah lahirnya berbagai aliran baru teologi Islam dengan perkembangan pemikiran Islam yang memberangsangkan. Aliran Muktazilah merupaka aliran revolusi pemikiran Islam yang berani mencuba pendekatan falsafah Greek dalam memahami teori-teori yang bersangkutan dengan ilmu ketuhanan samada dalam bentuk zat Allah, sifat Allah, dan perbuatan Allah sehingga mengutamakan logik akal dari nas-nas agama.
Sebagai tindak balas terhadap keterlaluan Muktazilah itu, lahirlah aliran pemikiran yang menyeru umat Islam agar kembali kepada ajaran agama seperti yang diajarkan oleh baginda sallallahu 'alaihi wasallam seperti pada kurun-kurun yang pertama. Aliran ini kemudiannya dikenali dengan nama fahaman salaf kerana slogannya yang mengajak umat Islam kembali menghayati ajaran seperti yang dibawa oleh para Salaf as-Soleh.
Antara ciri utama aliran ini ialah mengajak umat Islam kembali merujuk kepada Al-Quran dan Hadis nabawi dengan meninggalkan falsafah atau takwil-takwil aqliah yang dibawa masuk dari resapan tamadun silam terutamanya tamadun Greek. Pelopor utama gerakan ini ialah Imam Ahmad B. Hanbal (780-855M), imam Ahlu Sunnah Wal Jamaah. Hal ini dapat dilihat seperti contoh dalam masalah tauhid dan kaitannya dengan kuburan, dan juga ayat yang berkenaan dengan takwil dan tasybih.
Kemudian, lahirlah Ibn Taimiyah yang menyuburkan dan meneruskan perjuangan fahaman Salaf ini dengan karya tulisannya serta menyanggah semua pemikiran yang bertentangan dengan dalil yang tepat dan kukuh.
Gerakan Salafiyah di sekitar abad ke-2, ke-3, dan ke-4 hijrah didokong oleh para ulama' hadis seperti Ibn Mubarak (181H), Ibn Rahawaih (238H), Imam Bukhari (256H), Abu Daud (275H), dan ramai lagi. Walaupun gerakan ini didokong oleh ramai para ulama' hadis, namun corak pemikiran umat Islam pada ketika itu lebih terpengaruh dengan pemikiran terbuka hasil dari pertembungan ilmu dan budaya Islam dengan tamadun silam.
Begitulah serba ringkas sejarah munculnya fahaman Salaf selain daripada golongan Salaf yang terawal yang terdiri daripada sahabat Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam, tabi'in, dan tabi' at-tabi'in.
Rujukan:
Muhammad Imarah (1974), al-Muslimun as-Suwwar, Bairut, hlmn 18.
Dr. Mustofa Muhammad Asy-Syak'ah (1995), Islam tidak bermazhab, Kuala Lumpur, Percetakan Sooriya, hlmn 521.