Sejarah perkembangan agama merupakan sejarah manusia itu sendiri. Kelahiran agama serentak dengan kelahiran manusia di muka bumi ini. Oleh itu, sejarah agama adalah sejarah yang lama dan ianya berkembang seiring dengan perkembangan manusia, ini kerana sifat beragama merupakan fitrah semulajadi yang terdapat dalam diri setiap manusia.
Aliran pemikiran Ahlu Sunnah Wal Jamaah adalah pemikiran yang terawal dan mereka adalah golongan umat islam yang berpegang teguh kepada sunnah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam yang mempunyai pandangan tersendiri dalam hal-hal ketuhanan (usuluddin) dan cabang-cabangnya. Aliran pemikiran ini menjadi pegangan golongan Salaf iaitu generasi pertama yang terdiri daripada sahabat Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam, para tabi'in, dan pengikut-pengikut mereka.
Kebanyakkan ahli usuluddin membahagikan kelompok Ahlu Sunnah kepada dua kelompok besar (1) golongan yang diberi nama 'Salaf' dan (2) golongan khalaf. Perbezaan antara dua kelompok besar ini adalah dari aspek metodologi dan corak penghujahan. Golongan Salaf lebih bersifat tasliim menyerahkan pentafsiran hal-hal yang berkaitan ketuhanan kepada ilmu Allah, manakala golongan khalaf pula cuba menghuraikan kerumitan itu berdasarkan logik akal yang dipimpin oleh wahyu dan tata Bahasa Arab.
Sesetengah pengkaji sejarah Islam berpendapat bahawa gerakan salafiyyah merupakan suatu aliran pemikiran konsevartif yang kuat mempertahankan pemahaman terhadap ajaran Islam berteraskan nas-nas agama tanpa toleransi. Aliran ini juga sering dikaitkan dengan pergerakan memerangi segala bentuk bid'ah dalam khurafat dalam masyarakat Islam.
Tokoh besar gerakan ini seperti Imam Ahmad B. Hanbal, Ibn Taimiyyah, Jamaluddin al-Afghani, Muhammad B. Abdul Wahhab, dan ramai lagi merupakan barisan ulama' besar Islam yang berjuang menghapuskan segala bentuk khurafat, tahyul, dan bid'ah yang mengekang pemikiran masyarakat Islam serta mengajak seluruh umat Islam kembali menghayati ajaran agama seperti yang dibawa oleh Salaf as-Soleh (umat Islam di kurun yang pertama).
Rujukan:
Zakaria @ Mahmud b. daud (1997), "Muhammad Ibn Abdul Wahhab Dan Pengaruhnya Terhadap Ajaran Ahlu Sunnah Wal Jamaah di Perlis" (Tesis Ph.D di Universiti Malaya), 362.
Hassan Hilal al-Arusi (1986), al-Mausuah al-Arabiah al-Muyassarah, Lubnan: Dar al-Nahdah, hlmn 252.
Taha Abu Nadha (1989), Muzakirah fi ilm Tauhid, Kaherah: Maktabah al-Ansar, hlmn 59.