Wahabi atau Wahabiah dikaitkan dengan satu gerakan dakwah yang dibawa oleh seorang tokoh reformis Islam pada abad ke-18, iaitu Muhammad B. Abdul Wahhab, seorang pendakwah dan pengislah di zamannya. Fahaman dan ajaran yang dibawa oleh beliau adalah satu lanjutan dan sambungan daripada fahaman Salafiah yang dipelopori oleh antaranya Ibn Taimiyyah.
Satu perkara yang membezakan antara kedua-dua golongan ini ialah dari aspek cara dakwah dan metod penyebaran yang mana Ibn Taimiyyah menyebarkan fahaman Salafiah melalui tulisan-tulisan, mujadalah (dialog atau perdebatan), serta perbincangan, manakala Muhammad b. Abdul Wahhab menyebarkannya dengan cara yang agak radikal (ketenteraan).
Ibn Abdul Wahhab sebenarnya bukanlah seorang yang dapat dikatakan kuat dan bukan pula seorang yang fanatik sehingga mendorongnya untuk terlibat dalam beberapa peperangan, tetapi dia adalah seorang ulama yang selalu dimusuhi sehingga mengharuskannya untuk mencari perlindungan. Beliau amat menentang keras setiap perkara syirik dan bid'ah yang berlaku di zamannya. Dua dasar aqidah yang dipegang dan menjadi landasan gerakan ini ialah fokus kepada permasalahan tauhid yang murni dalam segala aspeknya serta memerangi dan menghilangkan bid'ah.
Beliau amat menentang keras amalan-amalan syirik yang dilakukan oleh masyarakat di zamannya seperti bertawassul kepada orang yang mati dan kuburan para wali, meletakkan makanan dengan berkeyakinan bahawa yang mati itu dapat memberikan kebaikan dan menolak petaka, dan sebagainya. Perkara sebegini banyak berlaku pada masyarakat Yamamah (Riyadh) yang berkeyakinan adanya pohon kurma yang dapat menunjukkan jodoh kepada wanita dau lelaki yang lewat menikah. Beliau juga melihat dan menyaksikan masyarakat yang menziarahi dan meminta berkat daripada sebuah gua yang diyakini memiliki kekuatan ghaib.
Beliau terus menerus berusaha untuk menghilangkan amalan syirik yang amat berleluasa ketika itu. Beliau dan pengikutnya menghancurkan semua kubur yang dibangunkan dan meratakannya dengan tanah, sehingga ramai orang barat yang menyebut gerakan ini sebagai penghancur tempat pemujaan. Mereka juga memasuki kota Mekah untuk menghancurkan semua kubah peniggalan zaman dahulu, seperti kubah tempat lahirnya Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam, kubah Siti Aisyah radiallahu 'anha, dan kubah rumah kelahiran Abu Bakr dan Ali radiallahu 'anhuma. Begitu juga ketika mereka memasuki Madinah, mereka menghancurkan semua kubur sahabat yang dibangunkan dan diratakannya dengan tanah dan hanya diberi tanda. Ini semua adalah sebab-sebab teruknya perbuatan syirik yang berlaku pada zaman beliau dengan pelbagai bentuk tawassul dan pemujaan kubur.
Muhammad B. Abdul wahhab berusaha untuk membersihkan kemurniaan aqidah islamiyyah daripada perbuatan syirik dan bid'ah. Perjuangan beliau tidaklah semata-mata duduk diatas singgahsananya sambil memerintahkan tenteranya untuk memaksa manusia mengikut fahamannya, malah beliau tetap mengusahakannya melalui perbincangan yang mana ini dapat dilihat ketika mana beliau mengutus dua orang pengikutnya ke Al-Azhar, Mesir pada tahun 1851 M untuk menjelaskan dan membincangkan fahaman ini. Hasil daripada perbincangan itu, Al-Azhar menafikan semua tuduhan yang disebarkan oleh beberapa ulama dan orientalis, bahkan Syeikh Abdul Huda Asy-Sya'idi, salah seorang ulama Al-Azhar menyatakan: "Kalau wahabi itu sama dengan apa yang kami dengar dan kami kaji ini, maka kami semuanya ini pun adalah Wahabi". (Lihat: Baina ad-Diyanah wal Hadharaah, halaman 139-140).
Beberapa tokoh orientalis menyamakan Abdul Wahhab dengan Martin Luther dalam agama Proteston. Jika Martin Luther dianggap sebagai pembaru dalam agam Proteston yang berhasil menghapuskan dan membersihkan berbagai penyimpangan dalam agamanya, maka Muhammad B. Abdul wahhab berhasil membanteras kemusyrikan dan segala bentuk bid'ah (setiap perkara yang baru di dalam agama Islam).
Hakikatnya, gelaran Wahabi ini digunakan oleh musuh-musuh Imam Muhammad B. Abdul wahhab kepada beliau dan pengikutnya bagi menggambarkan bahawa ajaran yang dibawa oleh beliau adalah satu aliran mazhab baru dan menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar sehingga dianggap sebagai mazhab yang sesat dan keluar dari Ahlu Sunnah.
Rujukan:
Dr. Mustofa Muhammad Asy-Syak'ah (1995), Islam tidak bermazhab, terbitan syarikat S. Abdul Majeed, Kuala Lumpur, hlmn 525-531.
H. Aboe Bakar Acheh (1976), Perbandingan Mazhab Salaf as-Soleh, Kota Bharu: Pustaka aman Press, hlmn 223.