Saturday, April 25, 2009

Aqidah Imam mazhab tentang nama-nama dan sifat-sifat Allah

Aqidah merupakan satu prinsip asas dalam agama islam. Rosaknya aqidah seseorang, maka rosaklah amalannya. Ini kerana Islam itu boleh diumpamakan sebagai sabatang pokok dan iman (aqidah) adalah akarnya. Pada topik ini, saya akan menulis secara ringkas mengenai aqidah para imam mazhab terutamanya dalam memahami Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah. Ketahuilah bahawa aqidah para imam mazhab semuanya adalah sama iaitu berlandaskan fahaman ulama Salaf as-Soleh dan bukannya atas fahaman ulama khalaf.

Sebelum dijelaskan satu persatu aqidah 4 mazhab dalam memahami Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah, sukanya saya membicarakan mengenai kaedah memahami aqidah ini secara umumnya. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah dalam kitabnya Majmu' al-fatawa menyatakan: "(Hendaklah) beriman kepada apa sahaja yang disampaikan oleh Allah mengenai diriNya di dalam kitabNya dan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dengan keimanan yang bersih dari tahrif dan ta'thil serta dari takyif dan tamsil."[Lihat: Mengungkap Kesempurnaan Sifat-Sifat Allah oleh syeikh Alawi B Abdul Qadir as-Sagef, hlmn 4]

Tahrif: Dari segu lughah (bahasa), tahrif ialah mengubah dan mengganti. Menurut pengertian syarak pula, tahrif ialah mengubah lafaz Nama-Nama Allah yang Husna dan Sifat-SifatNya yang Maha Tinggi. Contahnya Yad (tangan) Allah diubah maknanya menjadi nikmat seperti dalam surah Saad ayat 75. 

Ta'thil: Dari segi bahasa ia bermaksud meniadakan atau menafikan. Menurut pengertian syar'ie ia adalah  meniadakan Sifat-Sifat Ilahiyah dari Allah Ta'ala, mengingkari keberadaan Sifat-Sifat tersebut pada ZatNya, atau mengingkari sebahagian darinya. Hakikatnya sesiapa yang telah melakukan tahrif, secara automatiknya dia telah melakukan ta'thil. Sebagai contoh, bagi seseorang yang mengubah Sifat Istiwa' kepada Istawla', maka secara automatiknya dia juga telah menafikan sifat Istiwa' tersebut. 

Takyif: Bererti mempersoalkan bagaimana. Contohnya adalah seperti sikap bertanya bagaimana sifat wajah (wajh) Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Secara Syar'ie ianya bermaksud sikap menentukan atau mempastikan hakikat suatu Sifat dengan menetapkan tatacara, ciri-ciri, dan bentuk tertentu terhadap Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah.

Tamsil: Dari segi bahasa ia bermaksud mengumpamakan atau memisalkan. Dengan sebutan lain ia juga dinamakan tasybih (menyerupakan). Dari segi syarak, ia bermaksud mengumpamakan atau menyerupakan Allah Subhanahu Wa Ta'ala dalam Sifat-Sifat ZatiyahNya mahupun Fi'liyyahNya sebagaimana makhluqNya.

Diantara kaedah dalam memahami dan mengesakan Allah dalam Nama-Nama dan Sifat-SifatNya boleh diringkaskan seperti berikut:

1) Menerima dan mengimani kesemua Nama-Nama dan Sifat-Sifat yang Allah namakan dan sifatkan keatas diriNya dalam Al-Quran, juga yang Rasulullah sallallahu 'alahi wasallam namakan dan sifatkan Allah dengannya dalam hadis sohih.  Firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 140: "Apakah kamu semua yang lebih mengetahui ataukah Allah". Dan firman Allah lagi dalam surah an-Najm ayat 3 dan 4: "Dan tidaklah dia (Muhammad) berkata-kata menurut hawa nafsunya. Segala yang dikatakannya adalah wahyu yang diwahyukan kepadanya".

2) Beriman bahawa Sifat-Sifat Allah tidak menyamai sifat-sifat makhluk dan begitu juga sebaliknya tiada sifat makhluk yang menyerupai dan menyamai Sifat Allah. Allah berfirman dalam surah as-Syuraa, ayat 11: "Tidak ada suatu pun yang serupa denganNya (Allah) dan Dialah Yang Maha Mendengar Lagi Maha Melihat (iaitu pendengaran dan penglihatan Allah sama sekali tidak sama dengan pendengaran dan penglihatan makhlukNya)"

3) Beriman bahawa kita tidak dapat mengetahui hakikat sebenar rupa bentuk Sifat Allah itu walaupun kita boleh memahami makna sifat itu secara umumnya. Ini adalah kerana hakikat Sifat Allah adalah di luar cakupan akal dan deria manusia untuk menggambarkannya. Imam Malik berkata apabila ditanya tentang Sifat (Istiwa') Allah: "Istiwa' itu ma'lum (diketahui maknanya), hakikat sebenar (bagaimana Allah beristiwa') adalah majhul (tidak diketahui), beriman dengan sifat ini adalah wajib, dan bertanyakan tentangnya (tatacara, ciri-ciri, dan bentuk sifat Allah ini) adalah bid'ah".

 Imam Syafie rahimahullah

  • Imam az-Zahabi berkata ketika meriwayatkan daripada Imam asy-Syafi'ie: "Kita tetapkan Sifat-Sifat yang disebutkan oleh al-Quran dan as-Sunnah dan kita nafikan Tasybih (penyerupaan dengan makhluq) daripadaNya sebagaimana Dia telah menafikannya daripada DiriNya." [Lihat: Siyar A'lam Nubala, jilid 20, hlmn 341, riwayat Imam asy-Syafi'ie]
  • Al-Hafiz Ibn Katsir berkata: "Diriwayatkan dari al-Rabi' dan tidak hanya seorang daripada kalangan sahabat (Imam asy-Syafi'ie) yang terkemuka, keterangan yang menunjukkan bahawa beliau (Imam asy-Syafi'ie) menyingkapi ayat-ayat sifat dan hadis-hadis tentangnya sebagaimana ia datang tanpa melakukan takyif, tasybih, ta'thil, dan tahrif sesuai dengan kaedah kalangan Salaf as-Soleh." [Lihat: Kitab al-Bidayah wan Nihayah, jilid 10, hlmn 265]
  • Imam al-Baihaqi berkata: "Penyebutan dalil-dalil yang menerangkan Istiwa'Nya Allah di atas ArasyNya, dan juga athar-athar yang berasal dari kalangan salaf yang memiliki pengertian seperti ini cukup banyak jumlahnya dan ini menunjukkan kepada Mazhab asy-Syafi'ie rahimahullah." [Lihat: al-Asma' wa Sifat, hlmn 517]
  • Imam Ibn al-Qayyim berkata: "Telah meriwayatkan kepada kami oleh Abu Syu'aib dan Abu Tsaur dari Abu Abdillah Muhammad B. Idris asy-Syafi'ie rahimahullah, dia berkata: "....sesungguhnya Allah di atas ArasyNya, mendekat kepada makhluqNya menurut cara yang Dia kehendaki dan sesungguhnya Allah Ta'ala Turun ke langit dunia menurut cara yang Dia kehendaki." [Lihat: Ijtima' al-Juyusy al-Islamiyyah, hlmn 94]
  • Az-Zahabi berkata, diriwayatkan oleh Syeikh al-Islam Abu Hasan al-Hakari dan al-Hafiz Abu Muhammad al-Maqdisi melalui isnad mereka yang sampai kepada Abu Tsaur dan Abi Syu'aib, kedua-duanya dari Muhammad B. Idris asy-Syafi'ie, seorang pembela hadis rahimahullah berkata: "Pendapatku tentang sunnah, di mana aku berpegang kepadanya dan juga berpegang kepadanya oleh orang-orang yang aku lihat semisal Sufyan, Malik dan lain-lain, iaitu pengakuan terhadap persaksian bahawa tiada Tuhan selain Allah dan bahawa Muhammad adalah Rasulullah, dan bahawa Allah itu di atas ArasyNya yang ada di langit. Dia mendekati makhluqNya menurut apa yang Dia kehendaki dan turun ke langit terendah menurut apa yang Dia kehendaki." [Lihat: al-'Uluw lil-'Aliy al-Ghaffar, Imam az-Zahabi]

Imam Ahmad B Hambal rahimahullah

  • Imam Ibn Jauzi menyebut tentang satu tulisan (surat) Imam Ahmad B. Hambal kepada Musaddad yang antara isinya: "Sifatilah Allah dengan sifat yang denganNya Dia telah menyifati DiriNya dan nafikanlah daripada Allah apa-apa yang Dia nafikan daripada DiriNya." [Lihat: al-Manaqib Imam Ahmad, hlmn 221]
  • Al-Qadhi Abu Ya'la ketika meriwayatkan daripada Abu Bakar al-Muruzi dia berkata, aku bertanya Imam Ahmad B. Hambal tentang serangkaian hadis Sifat-Sifat Allah, tentang Ru'yatullah (melihat Allah pada hari akhirat), tentang Isra' dan Arasy. Maka Imam Ahmad B. Hambal mensahihkannya dan berkata: "Umat ini telah menerima dan mengakuinya dan membiarkannya hadis-hadis itu apa adanya sesuai dengan kedatangannya (tanpa ditakwil)." [Lihat: Thabaqat al-Hanabilah, jilid 1, hlmn 56]
  • Musaddad berkata, aku bertanya (kepada Imam Ahmad B. Hambal) tentang hadis-hadis yang menerangkan Sifat-Sifat Allah, maka beliau menjawab: "Diterima sebagaimana ia datang dan diimani dengannya dan jangan ditolak daripadanya apa-apa jika ia adalah dengan sanad yang sahih." [Lihat: al-Aqidah li Ahmad B. Hambal, hlmn 127]

Imam Abu Hanifah rahimahullah

  • Imam Abu Hanifah berkata: "Dan apa yg disebut oleh Allah Ta'ala dalam Al-Quran daripada sebutan Wajah dan Tangan dan Diri, maka ia adalah Sifat-Sifat bagiNya tanpa dipersoalkan bentukNya, ciri-ciri dan tatacara. Dan tidak boleh dikatakan bahwa TanganNya adalah KuasaNya (kudrat) atau NikmatNya kerana padanya terdapat pembatalan sifat. Ini adalah pendapat al-Qadariyyah dan al-Mu'tazilah. Akan tetapi, TanganNya Allah adalah sifatNya tanpa dipersoalkan bentuk, ciri-ciri dan tatacara. Dan MarahNya dan RedhaNya adalah dua sifat daripada Sifat-SifatNya tanpa dipersoalkan bentuk, ciri-ciri dan tatacara." [Lihat: Kitab al-Fiqhul Akhbar, hlmn 66-68]
  • Imam Abu Hanifah berkata: "Tidak patut bagi seseorang untuk mengatakan sesuatu tentang zat Allah kecuali menyifatiNya dengan Sifat-Sifat yang Dia berikan kepada DiriNya, dan tidak boleh seseorang mengatakan sesuatu tentang Allah dengan pendapatnya. Maha Suci serta Maha Tinggi Allah Ta'ala, Rabb semesta alam." [Lihat: Syarah al-Aqidah at-Tahawiyah, karya Ibn Abi al-Izz al-Hanafi, jilid 2, hlmn 472]
  • Imam al-Baihaqi berkata bahawa Imam Abu Hanifah berkata kepada seorang wanita yang telah bertanya kepadanya: "Di manakah tuhanmu yang engkau sembah itu?" Dia menjawab: "Sesungguhnya Allah itu ada di langit, bukan di bumi." Lalu tampillah seorang pemuda mengajukan pertanyaan: "Bagaimana dengan ayat: ......Dia tetap bersama-sama kamu...(surah al-Hadid 57;4). Abu Hanifah menjawab: "Dia seperti engkau menulis surat kepada seorang lelaki dengan mengatakan, "Sesungguhnya aku selalu bersamamu", padahal engkau tidak ada di sampingnya." [Lihat: Kitab al-Asma' wa Sifat, hlmn 429, Imam al-Baihaqi]
  • Imam Abu Hanifah berkata: "Tangan Allah di atas tangan makhluqNya, sedangkan TanganNya tidak seperti tangan makhluqNya." [Lihat: Kitab al-Fiqh al-Absath, hlmn 56]
  • Berkata Imam Abu Hanifah: "Sifat-SifatNya berbeza dengan sifat-sifat makhluq. Dia mengetahui, tetapi tidak seperti pengetahuan kita. Dia berkuasa namun berbeza dengan kekuasaan kita. Dan Dia berbicara tidak seperti pembicaraan kita." [Lihat: Kitab al-Fiqhul Akbar, hlmn 302]

Imam Malik rahimahullah

  • Imam Malik berkata: "Allah Di Langit dan IlmuNya berada di setiap tempat, tidaklah tertinggal darinya (Ilmu Allah) apa jua." [Lihat: Siyar A'lam al-Nubala]
  • Al-Walid B. Muslim berkata: "Aku telah bertanya kepada al-Auzai dan Malik dan Sufyan al-Thauri dan al-Laits B. Sa'ad tentang hadis-hadis ini (tentang Sifat-Sifat Allah), mereka menjawab, "Terimalah ia sebagaimana ia datang tanpa mempersoalkan bentuk, ciri-ciri dan tatacara." [Lihat: Kitab al-Sifat, no 62 oleh Daruqutni, kitab Syarh Usul I'tiqad Ahlus Sunnah wal Jamaah, jilid 3, hlmn 527, no 930, oleh al-Lalaka'i, dan kitab al-I'tiqad wa al-Hidayah ila Sabil al-Rasyad, hlmn 123, oleh al-Baihaqi]
  • Al-Hirawi meriwayatkan daripada Asyhab B. Abdul Aziz, dia berkata, aku pernah mendengar Malik berpesan: "Jauhilah oleh kamu bid'ah." Dia ditanya: "Wahai Abu Abdillah, apa yang kamu maksudkan dengan bid'ah?" Malik menjawab: "Ahlul Bid'ah ialah mereka yang memperkatakan (memperdebatkan) masalah Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah, masalah kalam, IlmuNya dan QudratNya. Mereka tidak diam daripada masalah yang didiamkan oleh para sahabat dan tabi'in yang mengikuti mereka dengan penuh ihsan." [Lihat: Kitab Dzammul Kalam, jilid 1, hlmn 173]

Wahabi tidak pernah difatwakan sesat

Sumber.:Harakah daily.net

Azamin Amin

May 8, 2008 by ajimoni 

Thu | May 08, 08 | 2:09:55 pm MYT KUALA LUMPUR, 8 Mei (Hrkh) - Kerajaaan mahupun Majlis Fatwa Kebangsaan tidak pernah mengeluarkan sebarang fatwa atau memutuskan bahawa fahaman Wahabi yang dipakai sebilangan umat Islam di negara ini sebagai sesat.Demikian jawapan yang diberikan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Zahid Hamidi (BN-Bagan Datok) kepada soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Zulkifli Noordin (KeADILan- Kulim Bandar Baru) berhubung dengan fatwa terhadap golongan Wahabi.


Sungguhpun begitu beliau telah menyenaraikan beberapa nama tokoh ulama di negara yang terdiri daripada golongan Wahabi antaranya Ustaz Abdullah Yassin dan Ustaz Hussein Yee Abdullah.

Semenjak tahun 1985 sehingga 1998 sebanyak enam kali Muzakarah Kebangsaan mengadakan pertemuan bagi membincangkan isu golongan Wahabi beserta ‘pemuka-pemuka golongan’ itu dan kali terakhir ialah pada 30 Ogos 2007 di Putra Palace bertempat di Perlis bersama dengan Mufti Perlis Dato’ Dr Asri Zainul Abidin.

Mengemukakan soalan tambahan, Zulkifli berkata jika tidak pernah difatwakan sesat mengapa golongan Wahabi ini sentiasa diberi tekanan seperti dilarang memberi ceramah, mengadakan kuliah agama dan ada yang turut ditahan oleh pihak berkuasa Jabatan Agama Islam Negeri.

“Ustaz Abdullah Yassin pernah dua kali ditahan malah ada kes-kes mahkamah yang melibatkan golongan Wahabi ini. Atas alasan apa dikenakan tindakan sedemikian jika golongan ini tidak pernah difatwakan sesat?” soal Zulkifli.

Menjawab soalan, Zahid menyatakan tindakan tersebut adalah disebabkan golongan tersebut tidak turut serta dan ‘memasuki’ mana-mana mahzab dan sentiasa menjadikan persoalan ‘bidaah’ sebagai satu polemik yang mengundang rasa tidak senang pihak lain khususnya majoriti masyarakat Islam yang bermahzab Syafie.

Ahli Parlimen (PAS Baling Taib Azzamuddin mencelah dengan berpendapat bahawa mana-mana Mufti yang dilantik oleh Majlis Fatwa mahupun Jabatan Perdana Menteri mestilah menyelidiki latar belakang Mufti terseut terlebih dahului memandangkan masyarakt umat Islam di sini merupakan umat Islam yang berfahaman mahzab Syafie.

Bagaimanapun Zahid yang bersetuju dengan pandangan Taib meminta pihak yang ingin membincangkan isu golongan Wahabi mahupun masalah kilafiyah ini membawa isu di platform yang lain dan bukannya di Parlimen. – mns

ASWJ antara gelaran dan realiti

Oleh: Ustaz Yazid B. Abdul Qadir Jawas

Ramai orang yang mengaku dirinya sebagai Ahlu Sunnah Wal Jama'ah, tetapi pengakuan dengan lisannya bertentangan dengan 'aqidah dan perbuatannya. Untuk itu, berikut disertakan tentang pengertian 'aqidah Ahlu Sunnah Wal Jama'ah dan siapakah orang yang dikatakan Ahlu Sunnah Wal Jama'ah itu sendiri.

A. Definisi 'Aqidah

Menurut bahasa, 'aqidah berasal dari kata al-'aqdu yang bererti ikatan, at-tautsiiq yang bererti kepercayaan atau keyakinan yang kuat, al-ihkaamu yang bererti mengukuhkan (menetapkan), dan ar-rabthu biquwwah yang bererti mengikat dengan kuat. [Lihat: Lisan al-'Arab oleh Ibn Manzur 9/311, dan Mu'jamul Waiith 2/614]

Menurut istilah pula 'aqidah ialah iman yang teguh dan pasti, yang tidak ada keraguan sedikit pun bagi orang yang meyakininya.

'Aqidah Islamiyah pula ialah keimanan yang teguh dan pasti kepada Allah dengan melaksanakan seluruh kewajipan, bertauhid, dan taat kepada-Nya, beriman kepada malaikat-malaikat-Nya, rasul-rasul-Nya, kitab-kitab-Nya, hari kiamat, takdir yang baik mahupun yang buruk dan mengimani seluruh prinsip-prinsip agama (Usuluddin) yang sahih, perkara-perkara yang ghaib, beriman kepada ijma' Salaf as-Soleh, serta seluruh berita-berita qat'i (pasti), baik secara ilmiah mahupun amaliah yang telah ditetapkan menurut Al-Quran dan As-Sunnah yang sahih serta ijma' Salaf as-Soleh. [Lihat: Buhuuts fil 'Aqidah Ahli Sunnah Wal Jama'ah, hlmn 11-12 oleh Dr. Nashir B. Abdul Karim al-'Aql, cetakan 2, 'Aqidah Ahli Sunnah Wal Jama'ah, hlmn 13-14, karya Syeikh Muhammad B. Ibrahim al-Hamd dan Mujmal Usul Ahli Sunnah Wal Jama'ah fil 'Aqidah oleh Dr. Nashir B. Abdul Karim al-'Aql]

B. Definisi Salaf

Menurut bahasa, Salaf ialah orang yang terdahulu (nenek moyang) yang lebih tua dan lebih utama. [Lihat: Lisanul Arab, 6/331]. Salaf bererti pendahulu. 

Menurut istilah, Salaf bererti generasi pertama dan terbaik dari umat Islam yang terdiri dari para sahabat, tabi'in, tabi' at-tabi'in, dan para imam pembawa petunjuk pada tiga kurun (generasi/masa) pertama yang dimuliakan oleh Allah sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam: "Sebaik-baik manusia adalah pada masaku ini (para sahabat), kemudian yang setelahnya (tabi'in), kemudian yang setelahnya (tabi' at-tabi'in)". [sahih Bukhari, no 2652 dan Muslim, no 2533, dari sahabat 'Abdullah B. Mas'ud radiallahu 'anhu

Ahlu Sunnah Wal Jama'ah juga dikatakan as-Salafiyyun kerana mereka mengikut manhaj Salaf as-Soleh dari sahabat, tabi'in, dan tabi' at-tabi'in. Kemudian setiap orang yang mengikut jejak mereka serta berjalan berlandaskan manhaj mereka di sepanjang masa. Mereka ini disebut Salafi kerana dinisbatkan kepada Salaf. Salaf bukan satu kelompok atau golongan seperti yang difahami oleh sebahagian orang, tetapi ianya adalah satu manhaj (jalan hidup dalam ber'aqidah, beribadah, berhukum, berakhlaq, dan yang lainnya) yang wajib diikuti oleh setiap muslim. Jadi, pengertian Salaf dinisbatkan kepada orang yang menjaga keselamatan 'aqidah dan manhaj menurut apa yang dilaksanakan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dan para sahabat radiallahu 'anhum sebelum terjadinya perselisihan dan perpecahan. [Mauqif Ahli Sunnah Wal Jama'ah min Ahli Ahwaa wal Bida', 1/63-64, karya Syeikh Dr. Ibrahim B. Amir ar-Ruhaili, Bashaa-iru Dzawi Syaraf bi Syarah Marwiyyati Manhajis Salaf, hlmn 21 karya Syeikh Salim B. 'Ied al-Hilali, dan Mujmal Usul Ahli Sunnah Wal Jama'ah fil 'Aqidah]

Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah berkata: "Bukanlah merupakan aib bagi orang yang menampakan manhaj Salaf dan menisbatkan dirinya kepada Salaf, bahkan wajib menerima yang demikian itu berdasarkan kesepakatan kerana manhaj Salaf tidak lain kecuali kebenaran". [Majmu' al-Fatawa, 4/149] 

C. Definisi Ahlu Sunnah Wal Jamaah

As-Sunnah menurut bahasa ertinya adalah jalan atau cara, baik jalan itu terpuji ataupun tercela. [Lisanul 'Arab, 6/399]

Menurut istilah ulama 'aqidah, As-Sunnah adalah petunjuk yang telah dilakukan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dan para sahabatnya, baik dalam ilmu, i'tiqad (keyakinan), perkataan mahupun perbuatan. Dan ini adalah sunnah yang wajib diikuti, orang yang mengikutinya akan dipuji dan orang yang menyalahinya akan dicela. [Buhuuts fil 'Aqidah Ahli Sunnah, halaman 16]

Pengertian As-Sunnah menurut Ibn Rejab al-Hanbali rahimahullah: "As-Sunnah ialah jalan yang ditempuh, mencakup di dalamnya berpegang teguh kepada apa yang dilaksanakan Nabi sallallahu 'alaihi wasallam dan para khalifahnya yang terpimpin dan lurus berupa i'tiqad (keyakinan), perkataan dan perbuatan. Itulah As-Sunnah yang sempurna. Oleh kerana itu generasi Salaf terdahulu tidak menamakan As-Sunnah kecuali kepada apa saja yang mencakup ketiga aspek tersebut. Hal ini diriwayatkan dari Imam Hasan al-Basri, Imam al-Auza'i, dan Imam Fudhail B. 'Iyadh". [Lihat: Jaami'ul 'Ulum wal Hikam, 2/120 oleh Ibn Rejab, tahqiq Syu'aib al-Arna-uth dan Ibrahim Baajis, cetakan ke-8-Mu-assasah ar-Risalah]

Disebut Ahlus Sunnah kerana kuatnya (mereka) berpegang dan berittiba' (mengikuti) sunnah Nabi sallallahu 'alaihi wasallam dan para sahabatnya radiallallahu 'anhum.

Al-Jama'ah menurut ulama 'aqidah adalah generasi pertama dari umat ini, iaitu genarasi sahabat, tabi'in, dan tabi' at-tabi'iin serta orang-orang yang mengikutinya dalam kebaikan hingga hari kiamat, kerana berkumpul di atas kebenaran. [Lihat: Syarhul 'Aqidah al-Waasitiyyah, hlmn 61 oleh Khalil Hirras]

Disebut Al-Jama'ah kerana mereka bersatu di atas kebenaran, tidak mau berpecah-belah dalam urusan agama, berkumpul di bawah kepemimpinan para imam (yang berpegang kepada) al-haq (kebenaran), tidak mau keluar dari jama'ah mereka dan mengikuti apa yang telah menjadi kesepakatan Salaful Ummah. [Lihat: Mujmal Usuul Ahlis Sunnah wal Jama'ah fil 'Aqidah]

Imam Abu Syammah asy-Syafi'e rahimahullah berkata: "Perintah untuk berpegang teguh kepada jama'ah, maksudnya adalah berpegang kepada kebenaran dan mengikutinya. Meskipun yang melaksanakan sunnah itu sedikit dan yang menyalahinya banyak kerana kebenaran itu apa yang dilaksanakan oleh jama'ah yang pertama, iaitu yang dilaksanakan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dan para sahabatnya tanpa melihat kepada orang-orang yang menyimpang (melakukan kebatilan) sesudah mereka". Sebagaimana di katakan oleh Ibn Mas'ud: "Al-Jama'ah adalah yang mengikuti kebenaran walaupun engkau sendirian". [Lihat: Al-Baa'its 'alaa Inkaaril Bida' wal Hawaadits, hlmn 91-92, tahqiq oleh Syeikh Masyhur B. Hasan Salman dan Syarah Usuul I'tiqad karya al-Lalikai, no 160]

Jadi, Ahlu Sunnah Wal Jama'ah adalah orang yang mempunyai sifat dan karakter mengikuti sunnah Nabi sallallahu 'alaihi wasallam dan menjauhi perkara-perkara yang baru dan bid'ah dalam agama.

Mereka disebut juga sebagai Ahlul Hadits, Ahlul Atsar, Ahlul Ittiba', ath-Thaa-ifatul Manshuurah (golongan yang mendapat petunjuk Allah), al-Firqatun Naajiyah (golongan yang selamat), dan al-Ghurabaa' (orang asing).

Tentang ath-Thaa-ifatul Manshuurah, Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Sentiasa ada segolongan dari umatku yang selalu menegakkan perintah Allah, tidak akan mencelakai mereka orang yang tidak menolong mereka dan orang yang menyelisihi mereka sampai datang perintah Allah dan mereka tetap di atas yang sedemikian itu." [H/R Bukhari, no 3641, dan Muslim, no 1037, dari Mu'awiyah radiallahu 'anhu]

Tentang al-Ghurabaa', Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Islam awalnya asing, dan kelak akan kembali asing sebagaimana awalnya, maka beruntunglah bagi al-Ghurabaa' (orang-orang yang asing)." [H/R Muslim, no 145, dari abu Hurairah radiallahu 'anhu]

Sedangkan makna al-Ghurabaa' adalah sebegaimana yang diriwayatkan oleh 'Abdullah B. 'Amru B. al-'Asr radiallahu 'anhuma ketika suatu hari rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam menerangkan tentang makna dari al-ghurabaa', beliau sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Orang-orang yang salih yang berada di tengah banyaknya orang-orang yang jelek, orang yang menderhakai mereka lebih banyak daripada yang mentaati mereka." [H/R Ahmad, 2/177, 222, Ibn Wadhdhah, no 168. Hadis ini disahihkan oleh Syeikh Ahmad Syakir dalam tahqiq Musnad Imam Ahmad, 6/207 no 6650. Lihat juga Bashaa-iru Dzawi Syaraf bi Syarah Marwiyyati Manhajas Salaf, hlmn 125]

Dalam riwayat yang lain disebutkan: "Iaitu orang-orang yang memperbaiki sunnahku (Sunnah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam) sepeninggalanku sesudah dirosak oleh manusia." [H/R at-Tirmizi, no 2630, beliau berkata, hadis ini hasan sahih. Dari sahabat 'Amr B. 'Auf radiallahu 'anhu]

Ahlus Sunnah, ath-Tha-ifah al-Manshuurah dan al-Firqatun Najiyah semuanya disebut juga Ahlul Hadits. Penyebutan Ahlus Sunnah, ath-Tha-ifah al-manshuurah dan al-Firqatun Najiyah dengan Ahlul Hadits suatu hal yang masyhur dan dikenal sejak generasi Salaf kerana penyebutan itu merupakan tuntutan nash dan sesuai dengan keadaan dan kondisi yang ada.

Hal ini diriwayatkan dengan sanad yang sahih dari para imam seperti: 'Abdullah B. Mubarak, 'Ali B. Madini, Ahmad B. Hanbal, al-Bukhari, Ahmad b. Sinan, dan yang lainnya. [Lihat: Sunan at-Tirmizi, kitabul Fitan no 2229. Lihat juga Silsilatul ash-Sahih karya Imam Muhammad Nasiruddin Al-Albani rahimahullah, 1/539 no 270, dan Ahlul Hadits Humuth Thaa-ifah al-Manshuurah karya Syeikh Dr. Rabi' B. Hadi al-Madkhali ]

Imam asy-syafi'e rahimahullah berkata: "Apabila aku melihat seorang ahli hadits, seolah-olah aku melihat seorang dari sahabat Nabi sallallahu 'alaihi wasallam, mudah-mudahan Allah memberikan ganjaran yang terbaik kepada mereka. Mereka telah menjaga pokok-pokok agama untuk kita dan wajib atas kita berterima kasih atas usaha mereka." [Lihat: siyar A'laamin Nubalaa', 10/60]

Imam Ibn Hazm azh-Zhahiri rahimahullah menjelaskan mengenai Ahlus Sunnah: "Ahlus Sunnah yang kami sebutkan itu adalah ahlul haqq, sedangkan selain mereka adalah Ahlul bid'ah kerana sesungguhnya Ahlus Sunnah itu adalah para sahabat radiallahu 'anhum dan setiap orang yang mengikuti manhaj mereka dari para Tabi'in yang terpilih, kemudian ashabul hadits dan yang mengikuti mereka dari ahli fiqh dari setiap generasi sampai pada masa kita ini serta orang-orang awam yang mengikuti mereka, baik di timur maupun di barat." [Lihat: Al-Fishal fil Milal wal Ahwaa' wan Nihal, 2/271, Daarul Jiil, Beirut] 

Salaf as-Soleh contoh teladan

Oleh: Ustaz Yazid B. Abdul Qadir Jawas

Salaf as-Soleh adalah satu contoh yang wajib diikuti. Dalil-dalil dari Quran dan Sunnah yang menunjukkan bahawa manhaj salaf adalah hujjah yang wajib diikuti oleh kaum Muslimin, diantaranya ialah:

A. Dalil-Dalil dari Al-Quran

1) Allah Ta'ala berfirman: "Maka jika mereka telah beriman sebagaimana yang kamu imani, sesungguhnya mereka telah mendapat petunjuk. Tetapi jika mereka berpaling, sesungguhnya mereka berada dalam permusuhan (denganmu). Maka Allah mencukupkan engkau (Muhammad) terhadap mereka (dengan pertolongan-Nya). Dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." [Al-Baqarah: 137]

Melalui ayat ini Allah menjadikan iman para sahabat Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam sebagai timbangan (tolok ukur) untuk membezakan antara petunjuk dan kesesatan, antara kebenaran dan kebatilan. Apabila Ahlul kitab beriman sebagaimana berimannya para sahabat Nabi sallallahu 'alaihi wasallam, maka sungguh, mereka mendapat hidayah (petunjuk) yang mutlak dan sempurna. Jika mereka (Ahlul Kitab) berpaling (tidak beriman) sebagaimana berimannya para sahabat, maka mereka jatuh ke dalam perpecahan, perselisihan, dan kesesatan yang sangat jauh.

Memohon hidayah dan iman adalah sebesar-besar kewajipan, menjauhkan perselisihan dan kesesatan adalah wajib. Jadi, mengikuti (manhaj) sahabat Rasul radiallahu 'anhum adalah kewajipan yang paling wajib. [Lihat: Bashaa-ir Dzawii Syaraf bi Syarah Marwiyyati Manhajis Salaf, hlmn 53, karya Syeikh Salim B. 'Ied al-Hilali]

2) Allah Ta'ala berfirman: "Dan sesungguhnya, inilah jalanku yang lurus, maka ikutilah! Jangan kamu ikuti jalan-jalan (yang lain) yang akan mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. demikianlah Dia memerintahkan kepadamu agar kamu bertaqwa." [Al-An'aam: 153]

Abdullah B. Mas'ud radiallahu 'anhu berkata: "Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam membuat garis dengan tangannya kemudian bersabda, "Ini jalan Allah yang lurus." Lalu beliau membuat garis-garis di kanan dan kirinya, kemudian bersabda: "Ini adalah jalan-jalan yang bercerai-berai (sesat) tidak satu pun dari jalan-jalan ini, kecuali di dalamnya ada syaitan yang menyeru kepadanya." Selanjutnya beliau membaca firman Allah Ta'ala: "Dan sesungguhnya inilah jalan-Ku yang lurus, maka ikutlah! Jangan kamu ikuti jalan-jalan (yang lain) yang akan mencerai-beraikan kamu dari jalan-Nya. Demikianlah Dia memerintahkan kepadamu agar kamu bertaqwa ." [Al-An'aam: 153] [H/R Ahmad, 1/435, 465, ad-Darimi, 1/67-68, al-Hakim, 2/318, dan al-Baghawi dalam Syarhus Sunnah, no 97, dihasankan oleh Syeikh Al-Albani dalam Zhilaalul Jannah fii Takhriijis Sunnah libni Abi 'Ashim, no 17. Tafsir an-Nasa-i, no 194]

Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah berkata: "Apabila orang berakal yang menginginkan perjumpaan dengan Allah Ta'ala memperhatikan permisalan ini dan memperhatikan keadaan semua kelompok dari kalangan Khawarij, Mu'tazilah, Jahmiyah, Rafidhah, serta ahli kalam yang mendekati Ahlus Sunnah seperti Karramiyah, Kullabiyah, al-Asy'ariyyah, dan selain mereka, bahawa setiap dari mereka memiliki jalan yang keluar dari apa-apa yang telah ditempuh oleh para sahabat dan Ahlul Hadis, dan setiap dari mereka menyangka bahawa jalan merekalah yang benar, nescaya orang yang berakal akan mendapati bahawa merekalah (firqah-firqah tersebut) yang dimaksudkan dalam permisalan ini yang diumpamakan oleh al-ma'sum (Rasulullah), yang beliau tidak berbicara dari hawa nafsunya, melainkan wahyu yang diwahyukan kepadanya." [Lihat: Naqdul Mantiq, hlmn 49]

3) Allah Ta'ala berfirman: "Dan barangsiapa menentang Rasul (Muhammad) setelah jelas kebenaran baginya, dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang mukmin, Kami biarkan dia dalam kesesatan yang telah dilakukannya itu dan Kami masukkan di kedalam neraka jahannam, dan itu seburuk-buruk tempat kembali." [An-Nisaa': 115]

Jalannya kaum Mukminin pada ayat ini adalah keyakinan, perkataan, dan perbuatan para sahabat radiallahu 'anhum kerana, ketika turunnya wahyu tidak ada orang beriman kecuali para sahabat, seperti firman Allah Ta'ala: "Rasul (Muhammad) beriman kepada yang diturunkan kepadanya (Al-Quran) dari Rabb-nya, demikian pula orang-orang yang beriman...." [Al-Baqarah: 285]

Ayat di atas menunjukkan bahawa mengikuti jalan para sahabat dalam memahami syari'at adalah wajib dan menyalahinya adalah kesesatan. [Lihat: Bashaa-ir Dzawii Syaraf bi Syarah Marwiyyati Manhajis Salaf, hlmn 54]

4) Allah Ta'ala berfirman: "Dan orang-orang yang terdahulu lagi yang pertama-tama (masuk Islam) di antara orang-orang muhajirin dan Ansar dan orang-orang yang mengikuti mereka dengan baik, Allah redha kepada mereka dan mereka pun redha kepada Allah. Allah menyediakan bagi mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Itulah kemenangan yang agong." [at-Taubah: 100]

Ayat ini sebagai hujah manhaj sahabat kerana ia merupakan dalil, maka pengikutnya berhak mendapatkan keredhaan. Jadi, tidak mendapatkan pujian kecuali orang yang mengikuti dalil. Oleh kerana itu, mengikuti mereka wajib atas orang alim maupun orang awam sebab kewajipan orang yang alim ialah mengikuti dalil, sebagaimana Allah Ta'ala berfirman: "Ikutilah apa yang diturunkan kepadamu dari Rabbmu, dan janganlah kamu ikuti selain Dia sebagai pemimpin. Sedikit sekali kamu mengambil pelajaran." [Al-A'raaf:3]

Andaikata tidak demikian, maka ia berhak mendapatkan hukuman, dan tidak berhak mendapat keredhaan. Maka perhatikanlah! [Lihat: Bashaa-ir Dzawisy Syaraf, hlmn 43]

5) Allah Ta'ala berfirman: "Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan mereka kitab dan hikmah (As-Sunnah). Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata." [Al-Jumu'ah: 2]

Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam diutus untuk mendidik dan mengajarkan Al-Quran dan As-Sunnah kepada umat ini, dan hal ini termasuk sebesar-besar tujuan dari kerasulan dan kenabian. Dan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam mengajarkannya hanya kepada sahabat. Adapun orang-orang setelah mereka mendapatkan ilmu dari jalannya para sahabat. Cukuplah Nabi sallallahu 'alaihi wasallam mengajarkan Al-Quran dengan nas dan maknanya, kaedah dan ketentuannya sebagaimana beliau mengajarkan As-Sunnah kepada mereka dengan sebaik-baik pengajaran. Dan tidak ada seorang pun yang ikut serta dalam menimba ilmu bersama Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Maka, tidak ada seorang pun yang menyamai para sahabat dalam ilmu dan pemahamannya. Orang yang belajar berhadapan langsung dengan beliau tidak sama seperti orang yang belajar dari selain beliau. Sebab, tidak ada seorang pun yang menyamai Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dalam menjelaskan dan mengajarkan Islam.

Sesungguhnya, orang yang paling utama untuk kita ikuti adalah orang yang paling sempurna ilmu dan pemahamannya. Sesungguhnya, para sahabat adalah orang yang paling sempurna ilmu dan pemahamannya, maka wajib bagi kita mengikuti dan mengutamakan mereka ketika terjadi perpecahan, perbezaan pendapat, dan perbezaan hukum. [Lihat: Bayyinaatus Salafiyyah Anna Aqwaalas Sahabah Hujjatun Syar'iyyah, hlmn 77-78, dan Bashaa-ir Dzawisy Syaraf bi Syarhi Marwiyyati Manhajis Salaf, hlmn 58-59]

B. Dalil-Dalil dari As-Sunnah

1) Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Sebaik-baik manusia adalah pada masaku (para sahabat), kemudian yang setelahnya, kemudian yang setelahnya...." [H/R Bukhari, no 2652, 3651, 6429, 6658, dan Muslim, no 2533, dan lainnya dari sahabat Ibnu Mas'ud radiallahu 'anhu. Hadis ini mutawatir sebagaimana telah ditegaskan oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam al-Ishaabah 1/12, al-Munawi dalam Faidhul Qadir 3/478, serta disetujui oleh al-Kattani dalam kitab Nadhmul Mutanaatsiir, hlmn 127 dan juga kitab Limaadzaa Ikhtartul Manhajas Salaf, hlmn 87]

2) Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersbda: "Aku berwasiat kepada kalian agar selalu bertaqwa kepada Allah, selalu mendengar dan taat, walaupun yang memerintah kalian adalah seorang budak dari Habasyah. Sesungguhnya, orang yang masih hidup di antara kalian sepeninggalanku, nescaya ia akan melihat perselisihan yang banyak, maka wajib atas kalian berpegang teguh kepada sunnahku dan sunnah Khulafa ar-Rasyidin yang mendapat petunjuk. Peganglah erat-erat dan gigitlah dia dengan gigi gerahammu. Dan jauhilah oleh kalian perkara-perkara yang diada-adakan (dalam agama), kerana setiap perkara yang diada-adakan adalah bid'ah, dan setiap bid'ah adalah sesat." [H/R Ahmad, 4/126-127, Abu Daud, no. 4607, Tirmizi, no. 2676, ad-Darimi, 1/44, al-Baghawi dalam Syarhus Sunnah, 1/205, al-Hakim, 1/95, disahihkan dan disepakati oleh Imam adz-Dzahabi. Lihat juga Irwaa-ul Ghaliil, no. 2455, dari sahabat al-'Irbadh B. Sariyah radiallahu 'anhu]

Hadis ini sebagai pukulan keras yang menghujam di kepala para ahlul bid'ah yang menyelisihi manhaj Salaf, kerana hal ini ditunjukkan oleh beberapa hal:

Pertama: Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam menggabungkan sunnah Khulafa ar-Rasyidin iaitu pemahaman Salaf, dengan sunnah beliau. Ini menunjukkan bahawa Islam tidak bisa difahami melainkan dengan manhaj Salaf.

Kedua: Beliau sallallahu 'alaihi wasallam menjadikan sunnah Khulafa ar-Rasyidin sebagai sunnah beliau, beliau mengatakan: "Gigitlah ia dengan gigi geraham." Dan tidak mengatakan: "Gigitlah keduanya dengan gigi geraham." Dengan demikian jelaslah bahawa sunnah Khulafa ar-Rasyidin termasuk sunnah beliau sallallahu 'alaihi wasallam.

Ketiga: Beliau menghadapkan (menjadikan berlawanan) semua itu dengan peringatan terhadap bid'ah, maka hal ini menunjukkan setiap yang menyelisihi manhaj Salaf bererti ia terjerumus dalam bid'ah tanpa ia sedari.

Keempat: Beliau menjadikan hal itu (manhaj Salaf) sebagai solusi dari perselisihan dan kebid'ahan, barangsiapa yang berpegang teguh kepada sunnah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dan sunnah Khulafa ar-Rasyidin, maka ia termasuk dalam golongan yang selamat kelak di hari Kiamat.

Kelima: Beliau tidak menjadikan sunnahnya dan sunnah Khulafa ar-Rasyidin dalam perselisihan yang banyak itu. Hal ini menunjukkan bahawa semuanya itu berasal dari Allah Ta'ala kerana perselisihan yang banyak tidak mungkin dari Allah sebagaimana dalam firman-Nya: "Sekiranya (Al-Quran) itu bukan dari Allah, pasti mereka menemukan banyak hal yang bertentangan di dalamnya." [An-Nisaa': 82]

Dari sisi-sisi yang berkaitan ini, maka jelaslah bahawa jalan keselamatan dari perselisihan dan perpecahan serta jalan untuk melindungi kehidupan dari sesatnya hawa nafsu dan rosaknya syubhat dan syahwat- yang menggelincirkan siapa yang mengikutinya dari terangnya kebenaran- iaitu pemahaman yang diamalkan oleh para sahabat Rasulullah sallallahu 'alahi wasallam terhadap sunnah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam kerana mereka telah mendapat bahagian melimpah dari sunnah tersebut, mereka berhasil menempati posisi terdepan, memimpin masa, sehingga tidak menyiakan kesempatan bagi generasi setelahnya untuk menyusul dan menyamai mereka kerana mereka berhenti di atas petunjuk, telah dicukupkan dengan ilmu, dan sedangkan ketajaman pandangan mereka melihat sunnah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam menjadi sesuatu yang paling agong di hati mereka, paling hebat dalam jiwa mereka, dimana tidak mungkin mereka mengutamakan hawa nafsu atasnya, atau mencampurnya dengan pendapat-pendapat yang lain. Bagaimana mungkin ini terjadi sementara mereka adalah orang-orang yang memproklamirkan permusuhan dan pembelaan di atas jalan Sunnah??

Jika Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam mengajak mereka dengan suatu perintah, secepatnya mereka segera memenuhinya baik beramai-ramai maupun secara bersendirian, mereka segera membawa jiwa raganya untuk melaksanakan perintah tersebut tanpa perlu bertanya tentang dalil atas buktinya.

Oleh kerana itu, mereka adalah orang yang paling berhak terhadap Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dan sunnahnya, baik dalam pemahaman, pengalaman, maupun dakwah, dan wajib bagi orang setelah mereka adalah berpegang teguh kepada manhaj mereka, agar bisa bersambung dengan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dan agama Allah. Jika tidak, maka ia bagaikan pohon buruk yang tercabut dari dalam tanah dan ia tidak memiliki ketetapan. [Lihat: Bashaa-iru Dzawisy Syaraf, hlmn 70-72 dengan diringkaskan]

3) Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Ketahuilah! Sesungguhnya orang-orang sebelum kamu dari Ahlul Kitab telah berpecah belah menjadi 72 golongan. Sesungguhnya umat (Islam) ini akan berpecah belah menjadi 73 golongan, 72 golongan tempatnya di dalam neraka dan hanya satu golongan di dalam syurga, iaitu al-Jama'ah." [H/R Abu Daud, no 4597, Ahmad 4/102, al-Hakim 1/128, ad-Darimi 2/241, al-Anjurri dalam as-Asyarii'ah, al-Lalikaii dalam Syarah Usul I'tiqaad Ahlis Sunnah 1/113 no. 150. Disahihkan oleh al-Hakim dan disepakati oleh Imam adz-Dzahabi dari Mu'awiyah B Abi sufyan. Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah mengatakan hadis ini sahih masyhur. Disahihkan oleh Syeikh al-Albani dalam silsilah al-Ahaadis as-Sohihah, no. 203-204]

Dalam riwayat lain disebutkan: "Semua golongan tersebut tempatnya di Neraka, kecuali satu (iaitu) yang aku dan para sahabatku berjalan di atasnya." [H/R Tirmizi no. 2641 dan al-Hakim 1/129 dari sahabat Abdullah B. 'Amru dan dihasankan oleh Syeikh al-Albani dalam Sohihul Jaami' no. 5343, dan juga lihat Dar-ul Irtiyaab'an Hadis maa Anaa 'alaihi wa As-haabii oleh Syeikh Salim B 'Ied al-Hilali, cetakan Darul Rayah, 1410H]

C. Dalil-Dalil dari Penjelasan Para Ulama'

1) Imam al-Auza'i rahimahullah mengatakan: "Hendaklah engkau berpegang kepada atsar Salaf as-Soleh meskipun orang-orang menolaknya dan jauhkanlah dirimu dari pendapat orang meskipun ia hiasi pendapatnya dengan perkataan yang indah." [Diriwayatkan oleh al-Aajurri dalam asy-Syarii'ah, 1/445, no. 127, dan Ibnu Abdil Barr dalam Jaami' Bayaanil 'iLmi wa Fadhlihi, 2/1071, no. 2077, dan adz-Dzahabi dalam Siyar A'laamin Nubalaa', 7/120, serta disahihkan oleh Syeikh al-Albani dalam Mukhtasharul 'Uluww lil Imaam adz-Dzahabi, hlmn 138]

2) Imam Fudhail B. 'Iyadh rahimahullah berkata: "Ikutilah jalan-jalan petunjuk (sunnah), tidak membahayakanmu sedikitpun orang yang menempuh jalan tersebut. Jauhkan dirimu dari jalan-jalan kesesatan dan janganlah engkau tertipu dengan banyaknya orang yang menempuh jalan kebinasaan." [Lihat: al-I'tisaam, 1/135, tahqiq Syeikh Masyhur B. Hasan Alu Salman]

3) Imam Ahmad B. Hanbal rahimahullah berkata: "Prinsip-prinsip Sunnah ('aqidah) disisi kami adalah berpegang teguh dengan apa yang dilaksanakan oleh para sahabat Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dan mengikuti jejak mereka, meninggalkan bid'ah, dan setiap bid'ah adalah sesat." [Lihat: Syarah Usuul I'tiqad Ahlis Sunnah wal Jama'ah, 1/176, no. 317]

Dari penjelasan tersebut di atas, Ahlus Sunnah meyakini bahawa kema'suman dan keselamatan hanya ada pada manhaj Salaf. Dan bahawa seluruh manhaj yang tidak berlandaskan kepada Al-Quran dan As-Sunnah menurut pemahaman Salaf as-Soleh adalah menyimpang dari as-siraat al-mustaqim, penyimpangan itu sesuai dengan kadar jauhnya mereka dari manhaj salaf. Kebenaran yang ada pada mereka juga sesuai dengan kadar kedekatan mereka dengan manhaj Salaf.

Ahlus Sunnah meyakini bahawa generasi akhir ummat ini hanya akan menjadi baik dengan apa yang menjadikan baik generasi awalnya.