Saturday, April 25, 2009

ASWJ antara gelaran dan realiti

Oleh: Ustaz Yazid B. Abdul Qadir Jawas

Ramai orang yang mengaku dirinya sebagai Ahlu Sunnah Wal Jama'ah, tetapi pengakuan dengan lisannya bertentangan dengan 'aqidah dan perbuatannya. Untuk itu, berikut disertakan tentang pengertian 'aqidah Ahlu Sunnah Wal Jama'ah dan siapakah orang yang dikatakan Ahlu Sunnah Wal Jama'ah itu sendiri.

A. Definisi 'Aqidah

Menurut bahasa, 'aqidah berasal dari kata al-'aqdu yang bererti ikatan, at-tautsiiq yang bererti kepercayaan atau keyakinan yang kuat, al-ihkaamu yang bererti mengukuhkan (menetapkan), dan ar-rabthu biquwwah yang bererti mengikat dengan kuat. [Lihat: Lisan al-'Arab oleh Ibn Manzur 9/311, dan Mu'jamul Waiith 2/614]

Menurut istilah pula 'aqidah ialah iman yang teguh dan pasti, yang tidak ada keraguan sedikit pun bagi orang yang meyakininya.

'Aqidah Islamiyah pula ialah keimanan yang teguh dan pasti kepada Allah dengan melaksanakan seluruh kewajipan, bertauhid, dan taat kepada-Nya, beriman kepada malaikat-malaikat-Nya, rasul-rasul-Nya, kitab-kitab-Nya, hari kiamat, takdir yang baik mahupun yang buruk dan mengimani seluruh prinsip-prinsip agama (Usuluddin) yang sahih, perkara-perkara yang ghaib, beriman kepada ijma' Salaf as-Soleh, serta seluruh berita-berita qat'i (pasti), baik secara ilmiah mahupun amaliah yang telah ditetapkan menurut Al-Quran dan As-Sunnah yang sahih serta ijma' Salaf as-Soleh. [Lihat: Buhuuts fil 'Aqidah Ahli Sunnah Wal Jama'ah, hlmn 11-12 oleh Dr. Nashir B. Abdul Karim al-'Aql, cetakan 2, 'Aqidah Ahli Sunnah Wal Jama'ah, hlmn 13-14, karya Syeikh Muhammad B. Ibrahim al-Hamd dan Mujmal Usul Ahli Sunnah Wal Jama'ah fil 'Aqidah oleh Dr. Nashir B. Abdul Karim al-'Aql]

B. Definisi Salaf

Menurut bahasa, Salaf ialah orang yang terdahulu (nenek moyang) yang lebih tua dan lebih utama. [Lihat: Lisanul Arab, 6/331]. Salaf bererti pendahulu. 

Menurut istilah, Salaf bererti generasi pertama dan terbaik dari umat Islam yang terdiri dari para sahabat, tabi'in, tabi' at-tabi'in, dan para imam pembawa petunjuk pada tiga kurun (generasi/masa) pertama yang dimuliakan oleh Allah sebagaimana sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam: "Sebaik-baik manusia adalah pada masaku ini (para sahabat), kemudian yang setelahnya (tabi'in), kemudian yang setelahnya (tabi' at-tabi'in)". [sahih Bukhari, no 2652 dan Muslim, no 2533, dari sahabat 'Abdullah B. Mas'ud radiallahu 'anhu

Ahlu Sunnah Wal Jama'ah juga dikatakan as-Salafiyyun kerana mereka mengikut manhaj Salaf as-Soleh dari sahabat, tabi'in, dan tabi' at-tabi'in. Kemudian setiap orang yang mengikut jejak mereka serta berjalan berlandaskan manhaj mereka di sepanjang masa. Mereka ini disebut Salafi kerana dinisbatkan kepada Salaf. Salaf bukan satu kelompok atau golongan seperti yang difahami oleh sebahagian orang, tetapi ianya adalah satu manhaj (jalan hidup dalam ber'aqidah, beribadah, berhukum, berakhlaq, dan yang lainnya) yang wajib diikuti oleh setiap muslim. Jadi, pengertian Salaf dinisbatkan kepada orang yang menjaga keselamatan 'aqidah dan manhaj menurut apa yang dilaksanakan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dan para sahabat radiallahu 'anhum sebelum terjadinya perselisihan dan perpecahan. [Mauqif Ahli Sunnah Wal Jama'ah min Ahli Ahwaa wal Bida', 1/63-64, karya Syeikh Dr. Ibrahim B. Amir ar-Ruhaili, Bashaa-iru Dzawi Syaraf bi Syarah Marwiyyati Manhajis Salaf, hlmn 21 karya Syeikh Salim B. 'Ied al-Hilali, dan Mujmal Usul Ahli Sunnah Wal Jama'ah fil 'Aqidah]

Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah rahimahullah berkata: "Bukanlah merupakan aib bagi orang yang menampakan manhaj Salaf dan menisbatkan dirinya kepada Salaf, bahkan wajib menerima yang demikian itu berdasarkan kesepakatan kerana manhaj Salaf tidak lain kecuali kebenaran". [Majmu' al-Fatawa, 4/149] 

C. Definisi Ahlu Sunnah Wal Jamaah

As-Sunnah menurut bahasa ertinya adalah jalan atau cara, baik jalan itu terpuji ataupun tercela. [Lisanul 'Arab, 6/399]

Menurut istilah ulama 'aqidah, As-Sunnah adalah petunjuk yang telah dilakukan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dan para sahabatnya, baik dalam ilmu, i'tiqad (keyakinan), perkataan mahupun perbuatan. Dan ini adalah sunnah yang wajib diikuti, orang yang mengikutinya akan dipuji dan orang yang menyalahinya akan dicela. [Buhuuts fil 'Aqidah Ahli Sunnah, halaman 16]

Pengertian As-Sunnah menurut Ibn Rejab al-Hanbali rahimahullah: "As-Sunnah ialah jalan yang ditempuh, mencakup di dalamnya berpegang teguh kepada apa yang dilaksanakan Nabi sallallahu 'alaihi wasallam dan para khalifahnya yang terpimpin dan lurus berupa i'tiqad (keyakinan), perkataan dan perbuatan. Itulah As-Sunnah yang sempurna. Oleh kerana itu generasi Salaf terdahulu tidak menamakan As-Sunnah kecuali kepada apa saja yang mencakup ketiga aspek tersebut. Hal ini diriwayatkan dari Imam Hasan al-Basri, Imam al-Auza'i, dan Imam Fudhail B. 'Iyadh". [Lihat: Jaami'ul 'Ulum wal Hikam, 2/120 oleh Ibn Rejab, tahqiq Syu'aib al-Arna-uth dan Ibrahim Baajis, cetakan ke-8-Mu-assasah ar-Risalah]

Disebut Ahlus Sunnah kerana kuatnya (mereka) berpegang dan berittiba' (mengikuti) sunnah Nabi sallallahu 'alaihi wasallam dan para sahabatnya radiallallahu 'anhum.

Al-Jama'ah menurut ulama 'aqidah adalah generasi pertama dari umat ini, iaitu genarasi sahabat, tabi'in, dan tabi' at-tabi'iin serta orang-orang yang mengikutinya dalam kebaikan hingga hari kiamat, kerana berkumpul di atas kebenaran. [Lihat: Syarhul 'Aqidah al-Waasitiyyah, hlmn 61 oleh Khalil Hirras]

Disebut Al-Jama'ah kerana mereka bersatu di atas kebenaran, tidak mau berpecah-belah dalam urusan agama, berkumpul di bawah kepemimpinan para imam (yang berpegang kepada) al-haq (kebenaran), tidak mau keluar dari jama'ah mereka dan mengikuti apa yang telah menjadi kesepakatan Salaful Ummah. [Lihat: Mujmal Usuul Ahlis Sunnah wal Jama'ah fil 'Aqidah]

Imam Abu Syammah asy-Syafi'e rahimahullah berkata: "Perintah untuk berpegang teguh kepada jama'ah, maksudnya adalah berpegang kepada kebenaran dan mengikutinya. Meskipun yang melaksanakan sunnah itu sedikit dan yang menyalahinya banyak kerana kebenaran itu apa yang dilaksanakan oleh jama'ah yang pertama, iaitu yang dilaksanakan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dan para sahabatnya tanpa melihat kepada orang-orang yang menyimpang (melakukan kebatilan) sesudah mereka". Sebagaimana di katakan oleh Ibn Mas'ud: "Al-Jama'ah adalah yang mengikuti kebenaran walaupun engkau sendirian". [Lihat: Al-Baa'its 'alaa Inkaaril Bida' wal Hawaadits, hlmn 91-92, tahqiq oleh Syeikh Masyhur B. Hasan Salman dan Syarah Usuul I'tiqad karya al-Lalikai, no 160]

Jadi, Ahlu Sunnah Wal Jama'ah adalah orang yang mempunyai sifat dan karakter mengikuti sunnah Nabi sallallahu 'alaihi wasallam dan menjauhi perkara-perkara yang baru dan bid'ah dalam agama.

Mereka disebut juga sebagai Ahlul Hadits, Ahlul Atsar, Ahlul Ittiba', ath-Thaa-ifatul Manshuurah (golongan yang mendapat petunjuk Allah), al-Firqatun Naajiyah (golongan yang selamat), dan al-Ghurabaa' (orang asing).

Tentang ath-Thaa-ifatul Manshuurah, Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Sentiasa ada segolongan dari umatku yang selalu menegakkan perintah Allah, tidak akan mencelakai mereka orang yang tidak menolong mereka dan orang yang menyelisihi mereka sampai datang perintah Allah dan mereka tetap di atas yang sedemikian itu." [H/R Bukhari, no 3641, dan Muslim, no 1037, dari Mu'awiyah radiallahu 'anhu]

Tentang al-Ghurabaa', Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Islam awalnya asing, dan kelak akan kembali asing sebagaimana awalnya, maka beruntunglah bagi al-Ghurabaa' (orang-orang yang asing)." [H/R Muslim, no 145, dari abu Hurairah radiallahu 'anhu]

Sedangkan makna al-Ghurabaa' adalah sebegaimana yang diriwayatkan oleh 'Abdullah B. 'Amru B. al-'Asr radiallahu 'anhuma ketika suatu hari rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam menerangkan tentang makna dari al-ghurabaa', beliau sallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Orang-orang yang salih yang berada di tengah banyaknya orang-orang yang jelek, orang yang menderhakai mereka lebih banyak daripada yang mentaati mereka." [H/R Ahmad, 2/177, 222, Ibn Wadhdhah, no 168. Hadis ini disahihkan oleh Syeikh Ahmad Syakir dalam tahqiq Musnad Imam Ahmad, 6/207 no 6650. Lihat juga Bashaa-iru Dzawi Syaraf bi Syarah Marwiyyati Manhajas Salaf, hlmn 125]

Dalam riwayat yang lain disebutkan: "Iaitu orang-orang yang memperbaiki sunnahku (Sunnah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam) sepeninggalanku sesudah dirosak oleh manusia." [H/R at-Tirmizi, no 2630, beliau berkata, hadis ini hasan sahih. Dari sahabat 'Amr B. 'Auf radiallahu 'anhu]

Ahlus Sunnah, ath-Tha-ifah al-Manshuurah dan al-Firqatun Najiyah semuanya disebut juga Ahlul Hadits. Penyebutan Ahlus Sunnah, ath-Tha-ifah al-manshuurah dan al-Firqatun Najiyah dengan Ahlul Hadits suatu hal yang masyhur dan dikenal sejak generasi Salaf kerana penyebutan itu merupakan tuntutan nash dan sesuai dengan keadaan dan kondisi yang ada.

Hal ini diriwayatkan dengan sanad yang sahih dari para imam seperti: 'Abdullah B. Mubarak, 'Ali B. Madini, Ahmad B. Hanbal, al-Bukhari, Ahmad b. Sinan, dan yang lainnya. [Lihat: Sunan at-Tirmizi, kitabul Fitan no 2229. Lihat juga Silsilatul ash-Sahih karya Imam Muhammad Nasiruddin Al-Albani rahimahullah, 1/539 no 270, dan Ahlul Hadits Humuth Thaa-ifah al-Manshuurah karya Syeikh Dr. Rabi' B. Hadi al-Madkhali ]

Imam asy-syafi'e rahimahullah berkata: "Apabila aku melihat seorang ahli hadits, seolah-olah aku melihat seorang dari sahabat Nabi sallallahu 'alaihi wasallam, mudah-mudahan Allah memberikan ganjaran yang terbaik kepada mereka. Mereka telah menjaga pokok-pokok agama untuk kita dan wajib atas kita berterima kasih atas usaha mereka." [Lihat: siyar A'laamin Nubalaa', 10/60]

Imam Ibn Hazm azh-Zhahiri rahimahullah menjelaskan mengenai Ahlus Sunnah: "Ahlus Sunnah yang kami sebutkan itu adalah ahlul haqq, sedangkan selain mereka adalah Ahlul bid'ah kerana sesungguhnya Ahlus Sunnah itu adalah para sahabat radiallahu 'anhum dan setiap orang yang mengikuti manhaj mereka dari para Tabi'in yang terpilih, kemudian ashabul hadits dan yang mengikuti mereka dari ahli fiqh dari setiap generasi sampai pada masa kita ini serta orang-orang awam yang mengikuti mereka, baik di timur maupun di barat." [Lihat: Al-Fishal fil Milal wal Ahwaa' wan Nihal, 2/271, Daarul Jiil, Beirut]