Saturday, April 25, 2009

Aqidah Imam mazhab tentang nama-nama dan sifat-sifat Allah

Aqidah merupakan satu prinsip asas dalam agama islam. Rosaknya aqidah seseorang, maka rosaklah amalannya. Ini kerana Islam itu boleh diumpamakan sebagai sabatang pokok dan iman (aqidah) adalah akarnya. Pada topik ini, saya akan menulis secara ringkas mengenai aqidah para imam mazhab terutamanya dalam memahami Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah. Ketahuilah bahawa aqidah para imam mazhab semuanya adalah sama iaitu berlandaskan fahaman ulama Salaf as-Soleh dan bukannya atas fahaman ulama khalaf.

Sebelum dijelaskan satu persatu aqidah 4 mazhab dalam memahami Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah, sukanya saya membicarakan mengenai kaedah memahami aqidah ini secara umumnya. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah dalam kitabnya Majmu' al-fatawa menyatakan: "(Hendaklah) beriman kepada apa sahaja yang disampaikan oleh Allah mengenai diriNya di dalam kitabNya dan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam dengan keimanan yang bersih dari tahrif dan ta'thil serta dari takyif dan tamsil."[Lihat: Mengungkap Kesempurnaan Sifat-Sifat Allah oleh syeikh Alawi B Abdul Qadir as-Sagef, hlmn 4]

Tahrif: Dari segu lughah (bahasa), tahrif ialah mengubah dan mengganti. Menurut pengertian syarak pula, tahrif ialah mengubah lafaz Nama-Nama Allah yang Husna dan Sifat-SifatNya yang Maha Tinggi. Contahnya Yad (tangan) Allah diubah maknanya menjadi nikmat seperti dalam surah Saad ayat 75. 

Ta'thil: Dari segi bahasa ia bermaksud meniadakan atau menafikan. Menurut pengertian syar'ie ia adalah  meniadakan Sifat-Sifat Ilahiyah dari Allah Ta'ala, mengingkari keberadaan Sifat-Sifat tersebut pada ZatNya, atau mengingkari sebahagian darinya. Hakikatnya sesiapa yang telah melakukan tahrif, secara automatiknya dia telah melakukan ta'thil. Sebagai contoh, bagi seseorang yang mengubah Sifat Istiwa' kepada Istawla', maka secara automatiknya dia juga telah menafikan sifat Istiwa' tersebut. 

Takyif: Bererti mempersoalkan bagaimana. Contohnya adalah seperti sikap bertanya bagaimana sifat wajah (wajh) Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Secara Syar'ie ianya bermaksud sikap menentukan atau mempastikan hakikat suatu Sifat dengan menetapkan tatacara, ciri-ciri, dan bentuk tertentu terhadap Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah.

Tamsil: Dari segi bahasa ia bermaksud mengumpamakan atau memisalkan. Dengan sebutan lain ia juga dinamakan tasybih (menyerupakan). Dari segi syarak, ia bermaksud mengumpamakan atau menyerupakan Allah Subhanahu Wa Ta'ala dalam Sifat-Sifat ZatiyahNya mahupun Fi'liyyahNya sebagaimana makhluqNya.

Diantara kaedah dalam memahami dan mengesakan Allah dalam Nama-Nama dan Sifat-SifatNya boleh diringkaskan seperti berikut:

1) Menerima dan mengimani kesemua Nama-Nama dan Sifat-Sifat yang Allah namakan dan sifatkan keatas diriNya dalam Al-Quran, juga yang Rasulullah sallallahu 'alahi wasallam namakan dan sifatkan Allah dengannya dalam hadis sohih.  Firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 140: "Apakah kamu semua yang lebih mengetahui ataukah Allah". Dan firman Allah lagi dalam surah an-Najm ayat 3 dan 4: "Dan tidaklah dia (Muhammad) berkata-kata menurut hawa nafsunya. Segala yang dikatakannya adalah wahyu yang diwahyukan kepadanya".

2) Beriman bahawa Sifat-Sifat Allah tidak menyamai sifat-sifat makhluk dan begitu juga sebaliknya tiada sifat makhluk yang menyerupai dan menyamai Sifat Allah. Allah berfirman dalam surah as-Syuraa, ayat 11: "Tidak ada suatu pun yang serupa denganNya (Allah) dan Dialah Yang Maha Mendengar Lagi Maha Melihat (iaitu pendengaran dan penglihatan Allah sama sekali tidak sama dengan pendengaran dan penglihatan makhlukNya)"

3) Beriman bahawa kita tidak dapat mengetahui hakikat sebenar rupa bentuk Sifat Allah itu walaupun kita boleh memahami makna sifat itu secara umumnya. Ini adalah kerana hakikat Sifat Allah adalah di luar cakupan akal dan deria manusia untuk menggambarkannya. Imam Malik berkata apabila ditanya tentang Sifat (Istiwa') Allah: "Istiwa' itu ma'lum (diketahui maknanya), hakikat sebenar (bagaimana Allah beristiwa') adalah majhul (tidak diketahui), beriman dengan sifat ini adalah wajib, dan bertanyakan tentangnya (tatacara, ciri-ciri, dan bentuk sifat Allah ini) adalah bid'ah".

 Imam Syafie rahimahullah

  • Imam az-Zahabi berkata ketika meriwayatkan daripada Imam asy-Syafi'ie: "Kita tetapkan Sifat-Sifat yang disebutkan oleh al-Quran dan as-Sunnah dan kita nafikan Tasybih (penyerupaan dengan makhluq) daripadaNya sebagaimana Dia telah menafikannya daripada DiriNya." [Lihat: Siyar A'lam Nubala, jilid 20, hlmn 341, riwayat Imam asy-Syafi'ie]
  • Al-Hafiz Ibn Katsir berkata: "Diriwayatkan dari al-Rabi' dan tidak hanya seorang daripada kalangan sahabat (Imam asy-Syafi'ie) yang terkemuka, keterangan yang menunjukkan bahawa beliau (Imam asy-Syafi'ie) menyingkapi ayat-ayat sifat dan hadis-hadis tentangnya sebagaimana ia datang tanpa melakukan takyif, tasybih, ta'thil, dan tahrif sesuai dengan kaedah kalangan Salaf as-Soleh." [Lihat: Kitab al-Bidayah wan Nihayah, jilid 10, hlmn 265]
  • Imam al-Baihaqi berkata: "Penyebutan dalil-dalil yang menerangkan Istiwa'Nya Allah di atas ArasyNya, dan juga athar-athar yang berasal dari kalangan salaf yang memiliki pengertian seperti ini cukup banyak jumlahnya dan ini menunjukkan kepada Mazhab asy-Syafi'ie rahimahullah." [Lihat: al-Asma' wa Sifat, hlmn 517]
  • Imam Ibn al-Qayyim berkata: "Telah meriwayatkan kepada kami oleh Abu Syu'aib dan Abu Tsaur dari Abu Abdillah Muhammad B. Idris asy-Syafi'ie rahimahullah, dia berkata: "....sesungguhnya Allah di atas ArasyNya, mendekat kepada makhluqNya menurut cara yang Dia kehendaki dan sesungguhnya Allah Ta'ala Turun ke langit dunia menurut cara yang Dia kehendaki." [Lihat: Ijtima' al-Juyusy al-Islamiyyah, hlmn 94]
  • Az-Zahabi berkata, diriwayatkan oleh Syeikh al-Islam Abu Hasan al-Hakari dan al-Hafiz Abu Muhammad al-Maqdisi melalui isnad mereka yang sampai kepada Abu Tsaur dan Abi Syu'aib, kedua-duanya dari Muhammad B. Idris asy-Syafi'ie, seorang pembela hadis rahimahullah berkata: "Pendapatku tentang sunnah, di mana aku berpegang kepadanya dan juga berpegang kepadanya oleh orang-orang yang aku lihat semisal Sufyan, Malik dan lain-lain, iaitu pengakuan terhadap persaksian bahawa tiada Tuhan selain Allah dan bahawa Muhammad adalah Rasulullah, dan bahawa Allah itu di atas ArasyNya yang ada di langit. Dia mendekati makhluqNya menurut apa yang Dia kehendaki dan turun ke langit terendah menurut apa yang Dia kehendaki." [Lihat: al-'Uluw lil-'Aliy al-Ghaffar, Imam az-Zahabi]

Imam Ahmad B Hambal rahimahullah

  • Imam Ibn Jauzi menyebut tentang satu tulisan (surat) Imam Ahmad B. Hambal kepada Musaddad yang antara isinya: "Sifatilah Allah dengan sifat yang denganNya Dia telah menyifati DiriNya dan nafikanlah daripada Allah apa-apa yang Dia nafikan daripada DiriNya." [Lihat: al-Manaqib Imam Ahmad, hlmn 221]
  • Al-Qadhi Abu Ya'la ketika meriwayatkan daripada Abu Bakar al-Muruzi dia berkata, aku bertanya Imam Ahmad B. Hambal tentang serangkaian hadis Sifat-Sifat Allah, tentang Ru'yatullah (melihat Allah pada hari akhirat), tentang Isra' dan Arasy. Maka Imam Ahmad B. Hambal mensahihkannya dan berkata: "Umat ini telah menerima dan mengakuinya dan membiarkannya hadis-hadis itu apa adanya sesuai dengan kedatangannya (tanpa ditakwil)." [Lihat: Thabaqat al-Hanabilah, jilid 1, hlmn 56]
  • Musaddad berkata, aku bertanya (kepada Imam Ahmad B. Hambal) tentang hadis-hadis yang menerangkan Sifat-Sifat Allah, maka beliau menjawab: "Diterima sebagaimana ia datang dan diimani dengannya dan jangan ditolak daripadanya apa-apa jika ia adalah dengan sanad yang sahih." [Lihat: al-Aqidah li Ahmad B. Hambal, hlmn 127]

Imam Abu Hanifah rahimahullah

  • Imam Abu Hanifah berkata: "Dan apa yg disebut oleh Allah Ta'ala dalam Al-Quran daripada sebutan Wajah dan Tangan dan Diri, maka ia adalah Sifat-Sifat bagiNya tanpa dipersoalkan bentukNya, ciri-ciri dan tatacara. Dan tidak boleh dikatakan bahwa TanganNya adalah KuasaNya (kudrat) atau NikmatNya kerana padanya terdapat pembatalan sifat. Ini adalah pendapat al-Qadariyyah dan al-Mu'tazilah. Akan tetapi, TanganNya Allah adalah sifatNya tanpa dipersoalkan bentuk, ciri-ciri dan tatacara. Dan MarahNya dan RedhaNya adalah dua sifat daripada Sifat-SifatNya tanpa dipersoalkan bentuk, ciri-ciri dan tatacara." [Lihat: Kitab al-Fiqhul Akhbar, hlmn 66-68]
  • Imam Abu Hanifah berkata: "Tidak patut bagi seseorang untuk mengatakan sesuatu tentang zat Allah kecuali menyifatiNya dengan Sifat-Sifat yang Dia berikan kepada DiriNya, dan tidak boleh seseorang mengatakan sesuatu tentang Allah dengan pendapatnya. Maha Suci serta Maha Tinggi Allah Ta'ala, Rabb semesta alam." [Lihat: Syarah al-Aqidah at-Tahawiyah, karya Ibn Abi al-Izz al-Hanafi, jilid 2, hlmn 472]
  • Imam al-Baihaqi berkata bahawa Imam Abu Hanifah berkata kepada seorang wanita yang telah bertanya kepadanya: "Di manakah tuhanmu yang engkau sembah itu?" Dia menjawab: "Sesungguhnya Allah itu ada di langit, bukan di bumi." Lalu tampillah seorang pemuda mengajukan pertanyaan: "Bagaimana dengan ayat: ......Dia tetap bersama-sama kamu...(surah al-Hadid 57;4). Abu Hanifah menjawab: "Dia seperti engkau menulis surat kepada seorang lelaki dengan mengatakan, "Sesungguhnya aku selalu bersamamu", padahal engkau tidak ada di sampingnya." [Lihat: Kitab al-Asma' wa Sifat, hlmn 429, Imam al-Baihaqi]
  • Imam Abu Hanifah berkata: "Tangan Allah di atas tangan makhluqNya, sedangkan TanganNya tidak seperti tangan makhluqNya." [Lihat: Kitab al-Fiqh al-Absath, hlmn 56]
  • Berkata Imam Abu Hanifah: "Sifat-SifatNya berbeza dengan sifat-sifat makhluq. Dia mengetahui, tetapi tidak seperti pengetahuan kita. Dia berkuasa namun berbeza dengan kekuasaan kita. Dan Dia berbicara tidak seperti pembicaraan kita." [Lihat: Kitab al-Fiqhul Akbar, hlmn 302]

Imam Malik rahimahullah

  • Imam Malik berkata: "Allah Di Langit dan IlmuNya berada di setiap tempat, tidaklah tertinggal darinya (Ilmu Allah) apa jua." [Lihat: Siyar A'lam al-Nubala]
  • Al-Walid B. Muslim berkata: "Aku telah bertanya kepada al-Auzai dan Malik dan Sufyan al-Thauri dan al-Laits B. Sa'ad tentang hadis-hadis ini (tentang Sifat-Sifat Allah), mereka menjawab, "Terimalah ia sebagaimana ia datang tanpa mempersoalkan bentuk, ciri-ciri dan tatacara." [Lihat: Kitab al-Sifat, no 62 oleh Daruqutni, kitab Syarh Usul I'tiqad Ahlus Sunnah wal Jamaah, jilid 3, hlmn 527, no 930, oleh al-Lalaka'i, dan kitab al-I'tiqad wa al-Hidayah ila Sabil al-Rasyad, hlmn 123, oleh al-Baihaqi]
  • Al-Hirawi meriwayatkan daripada Asyhab B. Abdul Aziz, dia berkata, aku pernah mendengar Malik berpesan: "Jauhilah oleh kamu bid'ah." Dia ditanya: "Wahai Abu Abdillah, apa yang kamu maksudkan dengan bid'ah?" Malik menjawab: "Ahlul Bid'ah ialah mereka yang memperkatakan (memperdebatkan) masalah Nama-Nama dan Sifat-Sifat Allah, masalah kalam, IlmuNya dan QudratNya. Mereka tidak diam daripada masalah yang didiamkan oleh para sahabat dan tabi'in yang mengikuti mereka dengan penuh ihsan." [Lihat: Kitab Dzammul Kalam, jilid 1, hlmn 173]